Search This Blog

Kisah Benar

Gabenor Yang Hodoh

Suatu masa, wilayah Khurasan pernah ditadbir oleh gabenor Yazid bin Muhallab. Dia seorang lelaki kacak dan cantik wajahnya. Selain mempunyai jasmani yang menarik, Yazid bin Muhallab juga seorang yang pintar dalam pentadbiran, sehingga rakyat sangat menyukainya dan suka mendengarkan pidatonya.

Akan tetapi, dia tidak begitu suka tinggal di Khurasan, maka dia pun dipindahkan ke tempat lain. Sebagai gantinya, kerajaan pusat mengangkat Qutaibah bin Muslim untuk menjadi gabenor Khurasan. Dia seorang lelaki yang agak hodoh dan kelihatan tidak begitu menarik.

Seorang penyair muda telah menggubah syair tentang gabenor Qutaibah ini yang bunyinya:

Semasa Yazid mentadbir Khurasan,
semua wajah kelihatan ceria.
pintu-pintu nikmat dan kemewahan terbuka luas.
Tapi kini, diganti oleh monyet di sekitarnya
berwajah hodoh dan menakutkan.

Apabila syair itu tersiar dan sampai kepada Qutaibah, gabenor baru ini sangat marah dan memerintahkan agar penggubahnya ditangkap. Akan tetap si penyair segera melarikan diri dan menyembunyikan diri buat beberapa masa. Akhirnya dia tidak tahan bersembunyi lama dan nekad untuk pergi berjumpa dengan ibu Qutaibah dan meminta surat jaminan daripadanya.

Setelah mendapat surat itu, dia pergi ke istana gabenor dan menyerahkan surat tersebut. Qutaibah tidak dapat berbuat apa-apa setelah menerima surat dari ibunya.
“Dengan wajah apa engkau datang berjumpa denganku?” Tanya Qutaibah.

“Dengan wajah yang kugunakan untuk berjumpa dengan Tuhanku, tapi Dia lebih banyak berbuat baik terhadapku daripada aku berbuat baik kepada-Nya. Dia tidak marah. Padahal kesalahanku kepadanya lebih banyak jika dibandingkan dengan kesalahanku kepadamu.”
Qutaibah tertawa dan suka mendengarkan alasan si penyair itu, maka dia pun dibebaskan.


Anjing Musafir
    iceritakan bahawa pada suatu hari *Abdullah bin Jaafar sedang berpergian. Ketika sampai di sebuah kebun kurma milik seseorang, dia berhenti untuk beristirehat. Didapatinya di situ ada seorang hamba abdi berkulit hitam yang menjaga kebun kurma tersebut. Tiba-tiba hamba abdi itu mengeluarkan bekalnya untuk makan yang berupa tiga potong makanan. Seekor anjing datang menghampirinya dan berpusing-pusing berhampiran si hamba sambil menyalak sebagai tanda ingin merasa makanan itu. Lidahnya pun dihulur-hulurkannya keluar.
    Hamba abdi yang peka itu mencampakkan sepotong makanannya ke arah anjing dan dimakannya. Kemudian dicampakkannya pula sepotong lagi dan dimakannya pula. Ternyata anjing itu masih belum mahu lari juga. Maka hamba abdi itu mencampakkan lagi makanannya untuk ketiga kalinya dan dimakannya lagi. Maka habislah semua bekal si hamba kerana diberikan kepada anjing yang datang.
    Abdullah bin Jaafar yang melihat perkara itu sangat hairan, kerana si hamba telah memberikan semua makanannya kepada anjing.
“Wahai anakku, berapa banyakkah makananmu sehari di tempat ini?” Tanya Abdullah bin Jaafar.
“Tiga potong saja yang kesemuanya telah dimakan anjing tadi.” Jawab si hamba.
“Mengapa engkau berikan semua kepada anjing itu? Dan engkau sendiri akan makan apa?” Tanya Abdullah.
“Wahai tuan. Tempat ini bukanlah kawasan anjing. Jadi aku yakin dia datang dari tempat yang jauh, sedang bermusafir dan tentu dia sangat lapar. Sedang aku sendiri, biarlah tidak makan hari ini sehingga esok.” Jawab si hamba.
Mendengar itu, Abdullah berseru: “Subhanallah. Bagus...bagus. Ternyata hamba itu lebih dermawan daripada saya.”
    Kerana rasa terharunya dan merasa kedermawanannya masih dikalahkan oleh seorang hamba hitam, Abdullah bin Jaafar membeli kebun kurma dan hamba abdi itu dari tuannya. Kemudian dia memerdekakan si hamba, dan kebun kurma itu diberikan kepadanya. Setelah itu, dia pergi meninggalkan tempat itu untuk meneruskan perjalanannya.
 

(*)  Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib lahir di Negeri Habsyah ketika umat Islam sedang berpindah ke sana dengan dipimpin oleh ayahnya Jaafar bin Abi Talib. Dialah keluarga Bani Hasyim yang paling akhir melihat Rasulullah SAW Ketika Nabi SAW membaiatnya, Abdullah bin Jaafar baru berumur tujuh tahun, turut bersama dalam baiat itu Abdullah bin Zubair yang umurnya juga baru tujuh tahun.

Abdullah bin Jaafar memang terkenal sangat dermawan. Dia pernah bersedekah sehingga beribu-ribu dinar dalam satu masa, enam puluh ribu, empat puluh ribu dinar dan lain-lain. Muawiyah sangat suka kepadanya dan memberinya satu juta dirham setiap tahun. Suatu masa ketika Muawiyah mengerjakan memberinya lima puluh ribu dinar. Abdullah bin Jaafar wafat pada tahun 83 Hijrah.


Dipetik Dari Buku: 2002 Senyum Siri 2 "Himpunan Kisah-kisah Lucu".
Pengarang: A. K. Alang Jaafar.